Naib juara Liga Super 2023, Selangor FC sedang giat mencari dan meneliti calon-calon yang berkelayakan untuk menyertai barisan kejurulatihan di bawah pimpinan ketua jurulatih baharu..
Difahamkan terdapat dua kekosongan jawatan penolong jurulatih di Selangor FC berikutan penolong jurulatih sebelum ini, Nidzam Jamil dan Ramon Marcote dinaikkan pangkat dan tidak disambung kontrak masing-masing.
Pencarian penolong jurulatih itu disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon sambil memaklumkan memberikan kebebasan sepenuhnya kepada Nidzam untuk memilih individu-individu mengisi kekosongan tersebut berdasarkan bajet yang dipersetujui dengan pihak pengurusan.
“Coach Nidzam bersama pasukannya sedang giat mencari penolong jurulatih untuk Selangor FC.
“Insya-Allah kita akan membawa masuk dua (atau) tiga pegawai baharu, Coach Nidzam dan barisan (kejurulatihannya) sedang meneliti resume-resume ini,
“Sudah tentu, kita memberi mandat dan tanggungjawab kepada Coach Nidzam untuk memilih sendiri siapa yang perlu mengisi barisan (kejurulatihan) beliau, tahun ini tahun yang besar (buat Selangor FC), beliau ingin dapatkan sokongan terbaik jurulatih-jurulatih baharu yang akan datang,” katanya ketika ditemui pada program SFC Intar of Hope, semalam.
Sementara itu, Nidzam sendiri mengesahkan akan merekrut sekurang-kurangnya dua penolong jurulatih; seorang jurulatih tempatan dan luar negara masing-masing untuk membantunya menghadapi saingan Liga Malaysia 2024-25 dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) 2024-25.
Bagi menapis calon-calon untuk menyertai barisan kejurulatihannya, Nidzam meletakkan beberapa kriteria iaitu mestilah seorang yang berpengetahuan, tahu akan hala tuju dan cita-cita Selangor FC serta mempunyai pengalaman di peringkat asia.
Pada masa yang sama, Dr. Johan memberikan bayangan bahawa jurulatih dari luar negara yang sedang diteliti mereka merupakan bekas pemain dari Australia yang pernah beraksi dalam kancah Liga Malaysia ketika Nidzam masih bergelar sebagai pemain.
Antara pemain-pemain Australia yang beraksi dalam kancah Liga Malaysia ketika Nidzam sendiri bergelar pemain ialah Mitchell Prentice, Tom Pondeljak, Marko Rudan, John Tambouras, Matthew Bingley, Andrew Clark, Simon Colosimo, Travis Dodd, Ante Milicic and Ross Aloisi.
Kesemua individu-individu dilihat sedang berkecimpung dalam bidang kejurulatihan.
Featured Image: Selangor FC