Kelantan Darul Naim Sambar Pemain Divisyen 4 Korea
March 26, 2024 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di pantai timur yang melakukan penjenamaan baharu, Kelantan Darul Naim FC mula merekrut pemain import baharu bagi menghadapi Liga Malaysia 2024-25.

Menerusi makluman di pelbagai platform media sosialnya pada hari ini, skuad berjulukan Kijang Emas mengumumkan kedatangan tiga pemain import baharu yang dibawa dari Republik Korea.

Salah seorang yang diikatnya adalah pemain tengah bertahan yang berusia 21 tahun, Jung Byung Ju yang sebelum ini beraksi bersama FC Sejong – kelab divisyen 4 Korea.

Keduanya, mereka mengikat penyerang muda berusia 22 tahun, Bae Kyeong Hwan yang sebelum ini bersama FC Chungju juga beraksi dalam saingan divisyen keempat Korea.

Akhir sekali, Kelantan Darul Naim turut menandatangani pertahanan berusia 20 tahun dari negara yang sama, Ri Gwan Kim – produk Daegu FC yang diketahui merupakan kelab yang bertanding dalam saingan K-League.

Kehebatan dan prestasi baiknya bersama skuad remaja Daegu FC telah membantunya menembusi dan menjadi tonggak skuad simpanan Daegu FC dengan merekodkan 40 penampilan sejak dua musim lalu.

Ketiga-tiga pemain ini menandatangani kontrak pada hari ini sambil disaksikan oleh penolong ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya serta ejen, Leo Jeong.

Sebagai rekod, pada penghujung musim lalu, Kelantan Darul Naim yang dahulunya dikenali sebagai Kelantan United FC bertindak melepaskan kesemua pemain importnya.

Featured Image: Kelantan Darul Naim FC

Komen