Skuad bola sepak kebangsaan kini bukan lagi pasukan No.3 di rantau asia tenggara (ASEAN).
Sebaliknya kedudukan itu menjadi milik skuad bola sepak negara jiran tetangga merangkap seteru rapat Malaysia iaitu Indonesia – berdasarkan kiraan tidak rasmi Ranking Dunia oleh FIFA.
Perkembangan itu muncul susulan Indonesia bimbingan Shin Tae-yong berhasil mencatatkan kemenangan kedua ke atas Vietnam dalam Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, semalam.
Manakala Malaysia pula terpaksa akur tewas sekali lagi 0-2 di tangan Oman biarpun beraksi di halaman sendiri sambil disaksikan 26,499 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
View this post on Instagram
Kemenangan Indonesia atau skuad Garuda semalam serta perlawanan menentang Vietnam di tempat sendiri pada 21 Mac lalu membolehkan mereka membolot tambahan 30.03 mata.
Kutipan mata itu telah melonjakkan mereka sebanyak sembilan anak tangga berbanding kedudukan rasmi pada masa kini sekaligus menghuni ranking ke-133 dunia.
Sementara itu, kekalahan skuad kendalian Kim Pan-gon di tangan Oman pada 22 Mac dan semalam menyebabkan Malaysia hilang 15.63 mata sekaligus terperosok ke tangga ke-137 dunia – kejatuhan sebanyak 5 anak tangga berbanding kedudukan rasmi.
Pada masa yang sama, Vietnam yang dahulunya gah sebagai pasukan No.1 ASEAN kini menghuni ranking ke-115 dunia.
Untuk makluman, kemaskini rasmi Ranking Dunia oleh FIFA yang seterusnya akan dilakukan pada 4 April kelak.
Featured Image: Football Association of Malaysia