Kim Pan-gon: Peluang Azam Azmi Ke Piala Asia B-23 Sukar
March 27, 2024 Hafizuddin Omar

Bek kanan skuad senior dan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Azam Azmi Murad berkemungkinan besar terlepas peluang untuk beraksi dalam kejohanan Piala Asia B-23 2024.

Ini berikutan pemain berusia 23 tahun terbabit ditimpa kecederaan ketika beraksi menentang Oman dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon memaklumkan kecederaan yang menimpa Azam itu boleh dikatakan agak serius dan memerlukan tempoh rehat yang agak panjang sebelum pulih sepenuhnya.

“Saya rasa (kecederaannya) agak serius, agak sukar untuk sertai Piala Asia B-23, saya sangat bersimpati dengannya,” katanya tanpa mengulas dengan lebih lanjut dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam perlawanan yang disaksikan 26,499 penonton di SNBJ semalam, Azam terpaksa diusung keluar pada minit ke-25 permainan dan tempatnya digantikan dengan Daniel Ting.

Selepas tamat perlawanan, Azam dilihat keluar dalam keadaan bertongkat sebelum menaiki bas untuk meninggalkan stadium.

Untuk makluman, saingan Piala Asia B-23 itu nanti akan berlangsung di Qatar bermula 15 April hingga 3 Mei.

Sebagai tambahan, saingan Piala Asia B-23 edisi kali ini turut berperanan sebagai kejohanan kelayakan ke temasya Sukan Olimpik 2024.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen