Startup Malaysia Berpeluang Jadi Rakan Kongsi Real Madrid FC
March 29, 2024 Hafizuddin Omar

Startup tempatan yang memberikan tumpuan terhadap Prestasi Sukan, Kandungan Audio Visual, E-Health, Teknologi & Keselamatan Siber, Interaksi Penyokong dan Impak Sosial berpeluang untuk menjadi rakan kongsi buat kelab gergasi bola sepak Sepanyol iaitu Real Madrid FC.

Peluang ini hadir susulan kelab yang menjuarai saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) sebanyak 14 kali itu mengadakan program Real Madrid Next Accelerator for Asia dengan kerjasama Creww Inc. dan Optin Studio – sebuah firman inovasi global berpejabat di Kuala Lumpur.

Untuk makluman, inisiatif ini bertujuan untuk membangunkan inovasi dalam industri sukan melibatkan solusi inovasi dari para usahawan asia.

Selain itu, program Real Madrid Accelerator for Asia ini bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan startup serta memupuk ekosistem inovasi yang menarik.

Pada masa yang sama, penyertaan daripada kalangan startup di rantau asia akan memberikan peluang kepada para usahawan untuk menceburi bidang inovasi teknologi bersama kelab ikonik seperti Real Madrid FC.

“Kami sedar akan bakat dan potensi kalangan usahawan tempatan Malaysia.”

“Melalui program ini, kami ingin membantu dan memudahcarakan peluang pertumbuhan bagi usahawan Malaysia supaya para usahawan tempatan berpeluang untuk memperoleh pengiktirafan setara dengan para usahawan Asia yang lain.” 

“Program ini akan membuka peluang untuk para usahawan tempatan untuk bekerjasama dengan jenama sukan terkemuka seper3 Real Madrid,” kata Farah Fauzi, Rakan Pengurus Optin Studio. 

“Program ini sekurang-kurangnya juga berperanan sebagai satu pendedahan bagi bakat tempatan untuk melangkah ke peringkat rantau dan global terutamanya dalam sektor teknologi sukan,” tambahnya.

Bagi startup atau usahawan yang terpilih, antara manfaat yang dapat diperoleh adalah pembiayaan dan pelaburan program, akses pasaran global dan peluang menjadi rakan kongsi perniagaan Real Madrid FC.

Selain itu, mereka turut mendapat bimbingan dan sokongan daripada pihak Optin Studio dalam mencari dan menyokong para usahawan startup Malaysia yang bersedia untuk menceburi pasaran global dalam sektor sukan.

Sebagai tambahan, peserta program yang terpilih akan menerima sokongan daripada Real Madrid serta peluang untuk mempamerkan inovasi mereka di Real Madrid Next Accelerator for Asia Demo Day yang dijadualkan berlangsung di Sepanyol pada penghujung tahun ini.

Permohonan untuk menyertai Real Madrid Accelerator fo Asia ini dibuka sehingga 15 April 2024. 

Pada 3 April kelak, satu sesi informasi “kick-off” secara dalam talian akan diadakan untuk para usahawan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang program ini.

Daftar untuk sertai program Real Madrid Next Accelerator for Asia DI SINI

Komen