Sivasangari Mara Ke Perlawanan Akhir Skuasy Klasik London 2024
April 1, 2024 Hafizuddin Omar

Pemain skuasy wanita No.1 negara, Sivasangari Subramaniam buat julung kalinya berjaya menempatkan diri ke perlawanan akhir Jelajah Dunia Emas PSA dalam kariernya di kejohanan Skuasy Klasik London 2024.

Pemain berusia 25 tahun melakar kemenangan tersebut dengan mengejutkan pemain No.4 dunia dari Belgium, Nele Gilis menerusi skor 10-21, 11-7, 11-8, 10-12 dan 11-9 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Alexandra Palace London, awal pagi tadi.

Untuk makluman, ini merupakan julung kalinya Sivasangari mencipta kemenangan ke atas Gilis selepas tewas dalam ketiga-tiga pertemuan terdahulu di pelbagai pentas antarabangsa.

Pada masa yang sama, kemaraan itu juga membuatkan Sivasangari yang menghuni ranking ke-16 dunia selaku pemain Malaysia pertama mara ke perlawanan akhir Jelajah Dunia Emas PSA sejak kali terakhir dilakukan oleh Datuk Nicol David pada tahun 2015.

Baca: Pemain Skuasy Wanita No.1 Negara, Sivasangari Dilantik Duta CIMB

Terdahulu, Sivangsari telah mencipta kejutan terbesar apabila menumpaskan pemain No.1 dunia merangkap juara dunia sebanyak tujuh kali, El Sherbini pada peringkat suku akhir.

Sivasangari berjaya memenangi pertarungan ke atas pemain dari Mesir itu menerusi skor 11-9 dan 11-9.

Sementara itu, di pentas akhir kelak, Sivasangari akan berentap menentang seorang lagi pemain Mesir yang menghuni ranking kedua dunia iaitu Hania El Hammamy pada jam 10 malam nanti (waktu Malaysia).

Berdasarkan rekod, Sivasangari pernah bertemu Hania sebanyak lima kali sebelum ini dan hanya berhasil meraih kemenangan sebanyak satu kali. 

Manakala baki keempat-empat perlawanan lain berakhir dengan kekalahan.

Featured Image: Squash Racquets Association of Malaysia

Komen