Syarikat MLM Ganti Colever Sebagai Penaja Utama Terengganu FC – Bernilai RM3 Juta
April 1, 2024 Hafizuddin Omar

Sebuah syarikat pemasaran pelbagai peringkat (MLM) tempatan iaitu Vearich International hadir hadir selaku penaja utama buat Terengganu FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2024-25.

Kehadiran syarikat yang menumpukan terhadap produk kesihatan terbabit diumumkan selepas kedua-dua pihak menandatangani perjanjian penajaan dalam satu majlis di Armada Hotel, Petaling Jaya, hari ini.

Perjanjian itu menyaksikan Vearich International hadir selaku Penaja Platinum dengan nilai tajaan wang tunai sebanyak RM3 juta selama semusim sehingga April 2025.

Proposal yang kita dah dapat daripada TFC, untuk penajaan platinum sponsor berjumlah RM3 juta dalam bentuk wang tunai, dalam masa yang sama, ada jugak dalam bentuk in-kind (barangan),” umum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Vearich İnternational, Dato’ Haji Abdul Khair Saad kepada para pengamal media.

Hasil penajaan sebanyak itu, logo produk terbaru mereka, Agarbomb Performance, akan dipaparkan di kesmua aset pemasaran termasuk di bahagian hadapan jersi-jersi Terengganu FC sepanjang musim 2024-25.

Perkembangan ini sekaligus menjawab teka-teki mengenai logo penaja manakah yang akan menggantikan Colever di bahagian hadapan jersi-jersi Terengganu FC selepas TDC Holding mengumumkan tidak menyambung penajaannya penghujung musim lalu.

Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC, Sabri Abas memaklumkan pihaknya kini telah menerima penajaan berjumlah RM6.2 juta daripada 23 buah syarikat penaja.

Komen