Sivasangari Muncul Juara Skuasy Klasik London 2024
April 2, 2024 Hafizuddin Omar

Pemain skuasy wanita No.1 negara, Sivasangari Subramaniam mencipta sejarah tersendiri dalam kariernya apabila muncul juara di kejohanan Skuasy Klasik London 2024.

Pemain berusia 25 tahun terbabit merangkul gelaran berkenaan susulan berjaya menumpaskan pemain No.2 dunia dari Mesir, Hania El Hammamy dalam perlawanan akhir yang tamat sekitar tengah malam tadi (waktu Malaysia).

Perlawanan yang berlangsung di Alexandra Palace itu menyaksikan Sivasangari mengatasi Hania menerusi skor 11-9, 5-11, 13-11, 12-14 dan 11-8 dalam tempoh masa sekitar satu jam.

Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan keduanya ke atas Hania selepas bertemu sebanyak enam kali di pentas antarabangsa sebelum ini.

Pada masa yang sama, keputusan itu bukan sahaja membolehkan Sivasangari meraih kejuaraan sulungnya dalam salah satu kejohanan Jelajah Dunia Emas PSA.

Bahkan Sivasangari kelahiran Kedah mencipta nama selaku pemain negara pertama meraih kejuaraan Skuasy Klasik London selepas legenda, Datuk Nicol David melakukannya pada tahun 2015.

Komen