Pemain tengah skuad kebangsaan kacukan Malaysia-Australia, Brendan Gan memilih meneruskan karier bola sepaknya bersama Kuala Lumpur City FC (KL City) merangkap seteru setempat kepada kelab lamanya, Selangor FC untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2024-25.
Brendan yang bakal menjengah usia 36 tahun pada pertengahan tahun nanti memaklumkan menandatangani kontrak selama setahun bersama skuad berjulukan The City Boys itu.
Difahamkan, tawaran daripada pihak pengurusan KL City ini membolehkan Brendan dan keluarganya tidak berpindah meninggalkan Lembah Klang khususnya ibu negara disamping prestasi tiga musim kebelakangan ini.
“Keluarga merupakan sebahagian besar daripada keputusan dibuat saya, kekal di kota ini merupakan perkara penting buat saya,”
“Bukan itu sahaja, KL City sebagai sebuah kelab mereka berjaya mara perlawanan akhir dalam kejohanan berpiala tiga tahun tahun berturut-turut, “ katanya ketika ditemui para pengamal media di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
View this post on Instagram
Pada masa yang sama, Brendan mengesahkan kelab berpangkalan di pantai timur semenanjung, Sri Pahang FC serta beberapa kelab dari luar negara berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Namun skuad KL City yang tidak mengalami perubahan besar berbanding musim lalu menjadi pilihannya selepas membuat pertimbangan bersama keluarganya.
Pada awal Februari lalu, Selangor FC yang berjulukan Gergasi Merah mengumumkan melepaskan tonggak tengah merangkap kaptennya itu selepas empat tahun bersama.
Brendan meninggalkan skuad Merah Kuning itu dengan rekod 80 penampilan, menjaringkan 14 gol dan mencipta 12 bantuan gol selain membantu mereka menamatkan saingan Liga Super 2023 selaku naib juara dan meraih slot ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2024-25.
View this post on Instagram
Featured Image: Kuala Lumpur City FC