Artikel

Singapura Ikut Langkah Malaysia, Tolak Anjur Sukan Komanwel 2026

Negara seberang tambak, Singapura mengambil pendekatan yang sama dengan Malaysia apabila menolak untuk menganjurkan temasya Sukan Komanwel 2026.

Perkembangan itu hadir selepas Sukan Komanwel Singapura (CGS) dan Majlis Sukan Singapura (SportSG) mengeluarkan kenyataan bersama mengatakan telah mengkaji kebolehlaksanaan penganjuran Sukan Komanwel 2026 dan membuat keputusan untuk tidak melakukan bidaan, lapor The Straits Times.

Sepatutnya temasya Sukan Komanwel Kali Ke-23 itu dilangsungkan di Victoria, Australia.

Bagaimanapun, kerajaan Victoria membuat kuputusan menarik diri daripada menganjurkan temasya melibatkan 74 buah negara Komanwel terbabit pada pertengahan Julai tahun lalu.

Keputusan tersebut membuatkan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan peluang kepada negara-negara anggota Komanwel termasuk Malaysia dan Singapura untuk menjadi tuan rumah bagi temasya berkenaan dengan suntikan kewangan sebanyak £100 juta.

Pada 22 Mac lalu, selepas Jemaah Menteri bermesyuarat, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan kerajaan Malaysia memutuskan tidak menerima tawaran daripada CGF sebagai tuan rumah bagi Sukan Komanwel 2026.

Alasan kepada penolakan itu adalah tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar selain impak ekonomi yang tidak dapat dikenalpasti dalam jangka masa singkat.

Featured Image: 28th SEA Games Singapore 2015

komen