Ranking FIFA: Indonesia Pintas Malaysia, Catat Kenaikan Tertinggi Dunia
April 5, 2024 Hafizuddin Omar

Seteru utama skuad negara, Indonesia menepati jangkaan dapat memintas kedudukan Malaysia dalam Ranking Dunia.

Perkembangan ini disahkan selepas Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melakukan kemaskini terhadap ranking tersebut, semalam.

Hasil daripada kemaskini itu, Indonesia kini berada di ranking ke-134 dunia susulan mencatatkan kenaikan sebanyak lapan anak tangga berbanding kedudukan lamanya.

Menurut FIFA, kenaikan tersebut merupakan kenaikan tertinggi dalam kalangan negara-negara anggota FIFA pada kemaskini kali ini.

Kenaikan itu dicetuskan oleh kemenangan dua kali berturut-turut Indonesia ke atas Vietnam pada aksi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 baru-baru ini.

Malaysia pula merekodkan kejatuhan sebanyak lapan anak tangga susulan tewas dua kali berturut-turut di tangan Oman dan kini terpaksa menghuni ranking ke-138 dunia.

Sementara itu, Vietnam yang tewas kepada Indonesia pula menjadi negara yang merekodkan penurunan 10 anak tangga – kejatuhan terbesar di dunia – dan kini berada di tangga ke-115 dunia.

Manakala Thailand pula kekal di tangga ke-101 dunia yang turut sama mengekalkan statusnya sebagai pasukan No.1 bagi rantau asia tenggara.

Untuk makluman, kemaskini Ranking Dunia yang berikutnya adalah pada 20 Jun 2024.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by FA Malaysia (@famalaysia)

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen