3 Atlet Berbasikal Trek Negara Layak Ke Sukan Olimpik 2024
April 15, 2024 Hafizuddin Omar

Tiga atlet berbasikal trek negara akan turut serta menyertai Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 yang akan berlangsung di Paris, Perancis bermula dari 26 Julai hingga 11 Ogos kelak.

Perkembangan ini hadir selepas jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta Nurul Izzah Izzati Mohd Asri secara tidak rasminya telah layak ke temasya berkenaan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Pemangku Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill menerusi satu kenyataan yang dikongsikannya pada hari ini.

“Secara tidak rasminya, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus telah layak ke Sukan Olimpik Paris dalam acara pecut dan keirin.”

“Dan kita ada Nurul Izzah Izzati yang secara tidak rasminya layak ke Sukan Olimpik Paris dalam acara pecut dan keirin selepas dia menampilkan prestasi unggul di Milton, Kanada semasa menyertai Piala Negara-Negara UCI pada 14 April.” katanya yang juga merupakan Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF).

Untuk makluman, Izzah, 20 tahun, kelahiran Kedah, menarik perhatian dan menjadi bualan peminat sukan tanah air apabila berjaya merangkul dua pingat emas dalam acara keirin dan 500 meter (m) ujian masa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 pada Februari lalu.

Di kejohanan yang sama, Izzah turut mengutip pingat perak dan gangsa dalam acara pecut berpasukan dan individu masing-masing.

Tambahnya, Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) akan mengeluarkan senarai rasmi atlet-atlet yang akan menyertai Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik pada 22 April nanti.

Apabila disahkan secara rasmi kelak, ketiga-tiga atlet ini akan menyertai enam lagi atlet lain yang telah layak secara rasmi ke Sukan Olimpik 2024. 

Antara nama yang telah layak ialah Bertrand Rhodict Lises (terjun), Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Jonathan Wong (menembak), Arian Nur Dania (memanah), Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya) dan Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat).

Featured Image: Instagram Malaysian Track Cycling

Komen