Atlet Lempar Cakera Lithuania Pecah Rekod Dunia Berusia 38 Tahun
April 16, 2024 Hafizuddin Omar

Mykolas Alekna muncul sebagai pemegang rekod dunia baharu dalam acara lempar cakera apabila merekodkan lontaran sejauh 74.35 meter (m). 

Atlet berusia 21 tahun tersebut mencatatkan rekod itu ketika membuat percubaan kelima semasa beraksi dalam kejohanan yang berlangsung di Ramona, Oklahoma.

Lontaran itu sekaligus meleburkan lontaran sejauh 74.08m yang dilakukan oleh altet lempar cakera Jerman, Juergen Schult pada tahun 1986.

Bagaimanapun, badan induk olahraga dunia, World Athletics memaklumkan rekod yang dicipta Alekna itu tertakluk kepada prosedur ratifikasi sebelum disahkan secara rasmi.

Baca: Gelaran Raja Lempar Cakera Asia Tenggara Milik Irfan Selama Sedekad

Terdahulu, Alekna merekodkan lontaran sejauh 72.21m, 70.32m, 72.89m dan 70.51m pada percubaan pertama, kedua, ketiga dan keempat masing-masing.

Manakala percubaan terakhirnya pula merekodkan lontaran sejauh 70.50m.

Untuk makluman semua, Alekna merupakan pemenang pingat perak dan gangsa dalam acara lempar cakera ketika beraksi dalam Kejohanan Olahraga Dunia 2022 dan Kejohanan Olahraga Dunia 2023.

Kedua-dua pingat itu diperolehinya dengan melakukan lontaran sejauh 69.27m dan 68.85m masing-masing.

Selain itu, Alekna turut merangkul pingat emas di Kejohanan Olahraga Dunia B-20 2021 yang berlangsung di Kenya dengan lontaran sejauh 69.81m menggunakan cakera seberat 1.75kg.

Featured Image: European Athletics

Komen