Zii Jia Tak Sertai Latihan Pusat Skuad Piala Thomas 2024
April 16, 2024 Hafizuddin Omar

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia akan menjalani latihan persendirian untuk mempersiapkan dirinya bagi menghadapi saingan Piala Thomas 2024 yang berlangsung di Chengdu, China dari 27 April hingga 5 Mei.

Ini bermakna pemain berstatus bebas (independent) bebas berusia 26 tahun terbabit tidak menyertai latihan pusat bersama anggota skuad Piala Thomas yang lain di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Perkembangan itu disahkan sendiri oleh pasukannya, Team LZJ menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.

Dimaklumkan, Zii Jia telah memulakan latihannya semalam (Isnin), setelah tiba di tanah air pada Ahad lalu selepas mengharungi Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024.

Program latihan persendirian yang akan dijalaninya itu disusun oleh Pengarah Kejurulatihan Team LZJ, Wong Tat Meng yang akan menyiapkan Zii Jia untuk mempamerkan kemampuan terbaiknya sepanjang kempen Piala Thomas kelak.

Difahamkan, program latihan yang disusun itu telah dibincangkan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan disokong oleh Pengarah Kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky dan Pengarah Pentadbiran BAM, Michelle Chai.

“Kami berterima kasih BAM, Rexy dan Michelle kerana memahami dan mempercayai kami untuk menguruskan pelan latihan dalam jadual kejohanan yang padat menjelang Sukan Olimpik Paris.” tulisnya kenyataan oleh Team LZJ.

Sebagai tambahan, pasukannya memaklumkan Zii Jia kelahiran Alor Setar akan menyertai skuad Piala Thomas bermula 24 April kelak.

Untuk makluman, anggota skuad Piala Thomas kali ini disertai oleh Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Cheam June Wei, Justin Hoh, Aaron Chia & Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin & Goh Sze Fei serta Muhammad Haikal Nazri.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen