KDA FC Perkenal Pas Setengah Musim – Didik Penyokong Beli Pas Bermusim
April 16, 2024 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tampil memperkenalkan penjualan pas bermusim bagi tempoh setengah musim untuk menyaksikan mereka beraksi dalam saingan Liga Super 2024-25.

Menurut pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar, pengenalan pas bermusim bagi tempoh sedemikian sebagai galakan dan didikan buat para penyokong selain memberikan penjimatan berbanding pembelian keseluruhan tiket pada setiap perlawanan.

“Disebalik membudayakan penyokong dengan pembelian pas bermusim, ianya dapat menjimatkan penyokong dari membeli tiket fizikal semasa hari perlawanan yang mana ianya adalah amalan lazim kelab-kelab luar negara iaitu tiket fizikal hari perlawanan lebih mahal dari harga pas bermusim.” jelas Mohd. Daud dalam sidang media pada hari ini.

KDA FC menawarkan pas bermusim dengan harga RM150, RM250 dan RM380 bagi Zon Terbuka, Zon Pavillion dan Zon Grandstand masing-masing melibatkan 12 perlawanan Liga Super.

Untuk makluman, KDA FC menetapkan harga tiket bagi setiap perlawanan di Stadium Darul Aman pada musim 2024-25 dijual pada harga RM20, RM30 dan RM40 bagi Zon Terbuka, Zon Pavillion dan Zon Grandstand masing-masing.

Harga-harga tiket tersebut dinaikkan sebanyak RM5 berbanding musim lalu.

Sebagai perbandingan, penyokong akan membayar sebanyak RM240, RM360 dan RM480 sekiranya membeli tiket bagi kesemua 12 perlawanan Liga Super untuk Zon Terbuka, Zon Pavillion dan Zon Grandstand masing-masing.

Oleh demikian, pemegang pas bermusim Zon Terbuka, Zon Pavillion dan Zon Grandstand akan menikmati penjimatan sebanyak RM90, RM110 dan RM100 masing-masing. 

Sementara itu,, harga pas setengah musim pula akan diumumkan oleh pihak kelab dalam masa terdekat.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

Komen