Gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin kembali menghuni kelompok 15 beregu lelaki terbaik dunia – julung kalinya selepas setahun yang lalu.
Penyertaan semula gandingan pemain berusia 26 tahun masing-masing dalam kelompok itu disahkan secara rasmi selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini Ranking Dunia, semalam.
Kemaskini itu memperlihatkan Sze Fei-Izzuddin mengumpul 57,088 mata sekaligus melonjakkan kenaikan sebanyak empat anak tangga berbanding kedudukan yang dihuni mereka pada minggu lalu.
Peningkatan itu dicetuskan oleh kejayaan mereka muncul naib juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 yang memberikan tambahan sebanyak 10,200 mata.
Pada masa yang sama, peningkatan ini turut membolehkan mereka memintas Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan mengembalikan status mereka sebagai beregu lelaki No.3 negara.
Sebagai rekod, 19 Mac 2023 menjadi tarikh mereka menghuni kelompok 15 beregu lelaki terbaik dunia.
Sementara itu, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik kekal selaku beregu lelaki No.1 negara dengan menghuni ranking kelima dunia.
Manakala Ong Yew Sin dan Teo Yi pula sebagai beregu lelaki No.2 negara namun kedudukan mereka pada minggu ini jatuh ke tangga ke-14 dunia.