Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan anggota-anggotanya di venue perlawanan bola sepak khususnya yang bergelanggang terbuka untuk membendung insiden-insiden pergaduhan.
Penempatan anggota-anggota polis itu melibatkan saingan Piala Presiden, Piala Belia, Liga A1 Semi Pro, Liga A2 dan Liga A3 Komuniti yang dahulunya dikenali sebagai Liga M3, M4 dan M4 masing-masing.
Jawatankuasa Keselamatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan PDRM membuat keputusan tersebut selepas mengambil kira insiden-insiden yang berlaku pada tahun lalu.
“PDRM mengambil berat mengenai isu-isu pergaduhan yang berlaku samada di perlawanan Liga M3, Liga M4, Liga M5, Piala Presiden dan Piala Belia, (perlawanan) gelanggang terbuka.”
“Untuk tahun ini, kita Jawatankuasa Keselamatan (FAM) telah mengadakan mesyuarat dan PDRM akan menempatkan anggota di semua venue-venue dimana semua pertandingan dilangsungkan khususnya di gelanggang terbuka,”
“Kita memang ambil berat perkara-perkara ini, kita tak mahu insiden-insiden sepertimana berlaku pada tahun lepas berulang lagi pada tahun ini, kita memang ambil tindakan tegas terhadap insiden pergaduhan yang berlaku,” Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, ACP (B) Md Dali Wahid ketika ditemui di Wisma FAM, semalam.
Beberapa insiden pergaduhan pada perlawanan bola sepak telah dilaporkan media pada tahun lalu. Antaranya melibatkan saingan Liga M5 Putrajaya dan pertandingan bola sepak remaja, Liga Suparimau.
Tidak dilupakan, insiden pergaduhan turut berlaku dalam saingan bola sepak amatur, Terengganu Football League (TFL) anjuran Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada awal Januari lalu.
Featured Image: Football Association of Malaysia