Musim Ke-6 Berturut-Turut Di Liga Malaysia, Ifedayo Sertai Polis
April 18, 2024 Hafizuddin Omar

Kelibat penyerang kelahiran Nigeria yang mempunyai pasport Bahrain, Ifedayo Olusegun akan dapat disaksikan dalam saingan Liga Malaysia bagi musim keenam berturut-turut.

Perkembangan ini hadir susulan Penjaring Terbanyak Liga Super Musim 2020 dan 2021 itu disahkan menyertai Kelab Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) bimbingan P. Maniam untuk mengharungi Liga Malaysia 2024-25.

Ifedayo yang menjengah usia 31 tahun pada 14 Januari lalu menyertai skuad berjulukan The Cops tersebut selaku pemain berstatus ejen bebas selepas dilepaskan oleh Kedah Darul Aman FC pada penghujung musim lalu.

Sebagai rekod, Ifedayo menjadi pemain import baharu ketiga ditandatangani oleh PDRM selepas membawa masuk Chidi Osuchukwu dan Faith Obilor Friday dari Nigeria.

Manakala Bruno Suzuki (Jepun-Brazil), Fadi Awad (Jordan) dan Kyaw Min Oo (Myanmar) pula menjadi tiga pemain import yang dikekalkan pihak pengurusan bagi menghadapi saingan musim ini.

Sebagai tambahan, PDRM menjadi kelab kelima disertai Ifedayo dalam kancah bola sepak Malaysia selepas beraksi bersama Felda United (2018), Selangor (2019-2021), Melaka United (2022) dan Kedah Darul Aman FC (2023).

Featured Image: PDRM Football Club

Komen