FAM Lancar Akademi Pengadil Profesional – Batch Pertama Disertai 30 Pengadil
April 18, 2024 Hafizuddin Omar

Badan induk bola sepak tanah air, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil melancarkan Akademi Pengadil Profesional secara rasmi pada hari ini.

Ianya bertujuan melahirkan pengadil berprestasi tinggi bagi mengadili perlawanan Liga Super Malaysia dan seterusnya ke peringkat antarabangsa. 

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S.Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM

Dimaklumkan, bagi kemasukan batch pertama bermula dari 2023 hingga 2025, seramai 30 pengadil telah dipilih menyertai akademi tersebut termasuk tiga orang pengadil wanita.

“Bagi batch pertama ini, FAM telah memilih pengadil-pengadil muda dan berpotensi yang berada dalam lingkungan umur 20 hingga 32 tahun. Mereka akan diuji dari aspek kecergasan, kesihatan, undang-undang permainan dan penguasaan bahasa Inggeris.

“Pengadil-pengadil ini akan mengikuti sembilan modul dan seramai lima pengadil daripada kumpulan ini juga telah dipilih untuk dilatih sebagai pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR).

“Matlamat terakhir kita bagi batch pertama akademi ini adalah untuk menyediakan pengadil-pengadil berprestasi tinggi bagi Liga Super Malaysia 2026,” katanya ketika berucap dalam majlis yang berlangsung di Petaling Jaya, hari ini.

Sebagai tambahan, FAM merancang meneruskan Akademi Pengadil Profesional ini sebagai projek jangka panjang untuk batch seterusnya pada 2025-2027 dan 2027-2029. 

Sementara itu, Sivasundaram turut memaklumkan FAM dan Malaysian Football League (MFL) berada dalam fasa akhir untuk melaksanakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam saingan Liga Super musim 2024-25 yang bermula 10 Mei.

“Sejarah bakal tercipta apabila FAM dan MFL mengorak langkah memperkenalkan VAR dalam saingan Liga Malaysia bermula musim ini. 

“Pelbagai fasa latihan telah dibuat bagi membiasakan pengadil-pengadil dengan kemahiran VAR.

“Objektif utama VAR adalah untuk meminimumkan kesilapan pengadil dan seterusnya memajukan standard bola sepak negara,” katanya lagi.

Untuk makluman, seramai 22 pengadil telah ditauliahkan sebagai pengadil VAR manakala 20 penolong pengadil ditauliahkan sebagai Penolong Video Bantuan Pengadil (AVAR).

Selain itu, sembilan pengadil serta lima individu daripada Astro ditauliahkan sebagai Replay Operator (RO) masing-masing.

Tambahan seramai 17 orang Penolong Pengadil untuk menyertai Seminar VAR 2024 yang mana membolehkan mereka dilantik sebagai Penolong Pengadil 1 & 2 bagi perlawanan yang menggunakan VAR.

Pada masa yang sama, FAM juga akan mengadakan Latihan VAR fasa ke-2 untuk menambah bilangan pengadil-pengadil VAR.

Komen