Pertandingan bola sepak kebangsaan tertua di dunia, Piala FA England mengumumkan mengubah formatnya bermula musim hadapan, musim 2024-25.
Menerusi pengumuman oleh Persatuan Bola Sepak England (The FA), perubahan yang dilakukan adalah menghapuskan perlawanan ulangan bermula daripada Pusingan 1.
Sebagai perbandingan, format pada ketika ini menyaksikan Piala FA tidak memainkan perlawanan ulangan bermula daripada Pusingan 5 sahaja.
Sekiranya kedua-dua pasukan seri selepas beraksi 90 minit yang sebenar, pemenangnya akan ditentukan menerusi masa tambahan atau penentuan sepakan penalti.
Bagaimanapun, aksi pada peringkat Pusingan Kelayakan melibatkan pasukan-pasukan daripada divisyen kelima hingga kesepuluh bola sepak England atau dipanggil “Non-League” masih dilangsungkan sekiranya perlawanan berakhir dengan keputusan seri selepas bermain selama 90 minit.
Keputusan ini dibuat selepas The FA dan Premier League mencapai kesepakatan menerusi satu perjanjian baharu yang berlangsung selama sekurang-kurangnya enam tahun.
The FA and The @premierleague have reached an agreement to strengthen the #EmiratesFACup format and increase support for grassroots football.
Swipe for details ➡️
— Emirates FA Cup (@EmiratesFACup) April 18, 2024
Keputusan ini turut dipacu oleh perubahan kalendar yang melanjutkan pertandingan-pertandingan anjuran Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Selain itu, perjanjian itu turut menyaksikan setiap pusingan perlawanan Piala FA akan dimainkan pada hujung minggu.
Ini termasuk perlawanan yang bermula dari Pusingan 5 yang dimainkan pada pertengahan minggu sejak lima musim yang lalu.
Bukan itu sahaja, perlawanan dari Pusingan 4, Pusingan 5 dan suku akhir akan dilangsungkan tanpa bertindih dengan perlawanan Premier League bermula dari Jumaat hingga Rabu secara berturut-turut.
Sebagai tambahan, perlawanan akhir Piala FA akan dilangsungkan secara eksklusif pada hari Sabtu tanpa sebarang pertindihan dengan perlawanan-perlawanan Premier League yang lain.
Mereka turut memaklumkan tiada sebarang perlawanan liga dilangsungkan pada hari Jumaat, malam sebelum hari perlawanan akhir Piala FA bagi memberikan segala tumpuan kepada acara tersebut.
Hasil daripada perjanjian dan perubahan ini, rehat pertengahan musim dimansuhkan dan saingan musim bola sepak baharu England akan bermula pada pertengahan Ogos.