4 Kriteria Pelepasan Cukai Bagi Yuran Menyertai Latihan Sukan
April 19, 2024 Hafizuddin Omar

Kemeterian Belia dan Sukan (KBS) tampil mengumumkan kriteria-kriteria untuk mendapatkan pelepasan cukai bagi yuran latihan sukan.

Pelepasan cukai tersebut adalah skop baharu yang dimasukkan untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000 untuk kegunaan diri sendiri, suami atau isteri atau anak.

Ianya dicadangkan untuk diperluas meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan ketika Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2024, Februari lalu.

Menerusi makluman oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut:

  • Latihan secara one-off atau bersiri yang diadakan secara berstruktur seperti kelas/klinik/kursus/bengkel dan sebagainya
  • Jenis sukan adalah seperti yang tersenarai di bawah Jadual Pertama, Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576]
  • Penyedia latihan mestilah persatuan/kelab sukan/syarikat yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan atau diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016
  • Perbelanjaan bagi yuran pendaftaran sukan dibuktikan dengan resit pembayaran termasuk resit yang dijana secara dalam talian (bank in slip dan penyata akaun bank tidak boleh digunakan sebagai bukti/resit pembayaran).

Untuk makluman, yuran menyertai latihan sukan ini terpakai untuk mendapatkan pelepasan cukai yang dibuat bermula 2024. 

Pada masa yang sama, Hannah menasihatkan orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu samada penyedia latihan yang ingin disertai mematuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan agar mereka layak untuk mendapat pelepasan cukai ini.

Sebelum ini, pelepasan cukai berkaitan perbelanjaan sukan yang layak dituntut adalah meliputi pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut jenis sukan yang disenaraikan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 (tidak termasuk basikal dua roda bermotor), bayaran sewaan atau fi kemasukan ke mana-mana fasiliti sukan, bayaran fi pendaftaran bagi menyertai apa-apa pertandingan sukan dan yuran keahlian gimnasium.

Featured Image: KBS Malaysia

Komen