Malaysia Masters 2024 Medan Persiapan Pemain Handalan Dunia Ke Sukan Olimpik

April 22, 2024
Badminton

Hafiz Omar

Saingan Malaysia Masters 2024 yang berlangsung dari 21 hingga 26 Mei di Axiata Arena kelak akan mempunyai tarikannya yang tersendiri biarpun ianya berlangsung selepas tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik 2024.

Menurut Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Norza Zakaria, saingan bertaraf Super 500 itu akan menjadi medan buat pemain-pemain handalan dunia untuk mempersiapkan diri mereka sebelum beraksi di Sukan Olimpik 2024.

Untuk makluman, temasya paling berprestij dunia itu akan berlangsung di Paris, Perancis bermula  26 Julai hingga 11 Ogos – sekitar sebulan selepas saingan Malaysia Masters melabuhkan tirainya.

“Walaupun kejohanan ini (Malaysia Masters) berlangsung selepas tamatnya saingan kelayakan ke Sukan Olimpik tetapi ramai pemain nak datang,”

“(Sebab) pertamanya, untuk mendapatkan perlawanan kompetitif dan keduanya untuk ‘seeding’ di Sukan Olimpik,” katanya dalam sidang media rasmi kejohanan yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), pada hari ini.

Ini dapat disaksikan dengan pendaftaran beberapa pemain dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia pada saat ini berdasarkan M & Q Report setakat 12 April 2024.

Antaranya Viktor Axelsen, Anthony Sinisuka Ginting, Anders Antonsen, Jonatan Christie, Li Shi Feng, Kunlavut Vitidsarn dan Loh Kean Yew.

Sementara itu, Norza turut mengesahkan beberapa wakil handalan negara turut menyertai saingan ini seperti Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Sebagai tambahan, saingan tahun ini turut ditaja oleh Perodua selaku penaja utamanya buat kali keenam berturut-turut.

Ianya turut menawarkan hadiah ganjaran sebanyak AS$420,000 secara keseluruhan sama seperti edisi pada tahun lalu.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd