Piala Asia B-23: Malaysia Pulang Tanpa Mata, Gagal Ke Sukan Olimpik
April 24, 2024 Hafizuddin Omar

Kempen skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) bimbingan Juan Torres Garrido di Piala Asia B-23 2024 secara rasminya telah berakhir.

Skuad berjulukan Harimau Muda itu bukan sahaja terpaksa akur beraksi setakat peringkat kumpulan sahaja bahkan turut pulang tanpa mengutip sebarang mata.

Ini susulan Harimau Muda turut tewas di tangan Kuwait pada perlawanan akhir peringkat Kumpulan D dengan keputusan 1-2, tengah malam tadi.

Dua jaringan oleh Kuwait itu dihasilkan oleh Salman Al-Awadhi dan Talal Al-Qaisi pada separuh masa pertama dan kedua masing-masing.

Sementara itu, jaringan tunggal oleh Malaysia pula disumbangkan oleh Haqimi Azim pada separuh masa kedua.

Haqimi bukan sahaja muncul sebagai penjaring tunggal untuk perlawanan tengah malam tadi bahkan sepanjang kempen Malaysia dalam saingan Piala Asia B-23 kali ini.

Sebagai perbandingan, kegagalan mengutip sebarang mata dan sekadar menjaringkan satu gol sepanjang kejohanan menyamai pencapaian skuad Harimau Muda ketika beraksi dalam Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan. 

Susulan kekalahan terbabit, Malaysia secara rasminya gagal menempah tiket ke temasya Sukan Olimpik 2024 yang akan berlangsung di Paris dari 26 Julai hingga 11 Ogos kelak.

Untuk makluman, tiga pasukan terbaik kejohanan akan mendapat tiket ke temasya Sukan Olimpik manakala pasukan keempat pula akan ke perlawanan play-off menentang wakil benua afrika.

Sebagai rekod, perkembangan ini menjadikan kemarau kemaraan Malaysia ke Sukan Olimpik kini berterusan selepas kali terakhir layak pada edisi tahun 1980.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by FA Malaysia (@famalaysia)

Featured Image: FAM

Komen