SAC 2024: Selangor Julang Trofi, Raih AS$10,000
Hafiz Omar
Pasukan berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC meraih ganjaran wang tunai sebanyak AS$10,000 bersamaan sekitar RM47,775.00.
Ganjaran itu hadir susulan pasukan berjulukan Gergasi Merah muncul juara kejohanan jemputan pramusim, Selangor Asia Challenge (SAC) 2024 yang turut melibatkan Balestier Khalsa FC (Singapura), DPMM FC (Brunei) dan Young Elephant FC (Laos).
Selangor bimbingan Nadzam Jamil mengesahkan kejuaraan tersebut selepas menundukkan Young Elephant pada perlawanan kedua kejohanan dengan keputusan 4-0 hasil jaringan Safuwan Baharudin, Alvin Fortes, Faisal Halim dan Syahir Bashah.
Terdahulu, Selangor memulakan kempen ini juga dengan kemenangan 4-0 ke atas DPMM FC. Kemenangan itu dicetuskan oleh jaringan berganda daripada Noor Al-Rawabdeh dan Alvin Fortes masing-masing.
Untuk makluman, Selangor muncul juara setelah mengumpul 14 mata – enam mata hasil daripada dua kemenangan manakala lapan lagi mata berpunca daripada lapan gol yang dijaringkan.
Sebagai rekod, ini merupakan julung kalinya Selangor berjaya menjulang trofi SAC sejak ianya dipertandingkan buat julung kalinya pada tahun 2020.
Sementara itu, Balestier Khalsa kendalian Peter De Roo – bekas Pengarah Teknikal FAM – muncul naib juara dan membawa pulang ganjaran sebanyak AS$5,000.