Mulakan Perancangan Untuk Skuad B-23 Sekarang – Pengurus
April 30, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) terpaksa akur pulang daripada saingan Piala Asia B-23 2024 yang berlangsung di Qatar tanpa sebarang mata selain gagal melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik 2024 Paris.

Bukan itu sahaja, skuad bimbingan Juan Torres Garrido menamatkan kempen Piala Asia B-23 di tangga tercorot Kumpulan D selain merekodkan enam bolos dan sekadar menjaringkan satu gol sahaja.

Disebalik prestasi yang tidak memberangsangkan itu, Pengurus Skuad Kebangsaan B-23, Dato’ Sri Shahril Mokhtar mengajak untuk memandang ke hadapan selain menggesa untuk memulakan perancangan seterusnya bagi skuad berjulukan Harimau Muda dari sekarang.

Ini berikutan skuad sedia ada mempunyai beberapa pemain yang usianya berpeluang untuk dibawa menyertai pusingan akhir Piala Asia B-23 2026 yang akan berlangsung di Arab Saudi.

“Masih ada beberapa pemain masih boleh bermain di pertandingan akan datang.” 

“Jadi kita tidak ada cara lain kecuali harus manfaat masa yang ada untuk melakukan perancangan bermula daripada sekarang.”

“Paling penting adalah kita kena fokus tentang diri sendiri dan kita kena baiki apa saja kelemahan yang kita ada. 

“Gerak kerja kena dilakukan sekarang kerana selepas ini kita akan ada beberapa lagi pertandingan,” katanya ketika ditemui para pengamal media baru-baru ini.

Antara yang dicadangkannya adalah mengatur perlawanan persahabatan yang berkualiti selain menyediakan para pemain dengan elemen-elemen psikologi yang dapat menjadikan mereka lebih matang.

Pemain-pemain yang masih berpeluang untuk beraksi di pentas Piala Asia B-23 berikutnya ialah Ubaidullah Shamsul, Muhammad Abu Khalil, Najmudin Akmal, Aliff Izwan Yuslan, Haqimi Azim dan Fergus Tierney.

Selain itu, Piala Asia B-23, pemain-pemain ini juga boleh dibawa untuk menyertai temasya Sukan SEA pada tahun hadapan di Thailand.

Featured Image: AFC

Komen