Piala Shopee: 14 Kelab Bertanding Akan Diumumkan Pada 9 Mei
April 30, 2024 Hafizuddin Omar

Kelab-kelab yang akan menyertai saingan Kejohanan Kelab ASEAN atau nama komersilnya, Piala Shopee 2024-25 akan diketahui secara rasmi pada 9 Mei (Khamis) kelak.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh penganjur, Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) menerusi satu surat makluman yang diedarkan pada hari ini.

Pengumuman itu akan dilakukan pada tarikh berkenaan bersekali dengan Majlis Undian Rasmi yang dijadualkan berlangsung dari jam 11 pagi hingga 1 petang di InterContinental Saigon, Ho Chi Minh, Vietnam.

Sebelum ini, dimaklumkan, Malaysian Football League (MFL) mencadangkan naib juara Piala FA dan Piala Malaysia iaitu Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Terengganu FC mewakili Malaysia untuk beraksi dalam saingan ini.

Wakil tunggal dari Brunei, Kemboja, Laos dan Myanmar yang akan memulakan kejohanan ini dari peringkat kelayakan juga masih menjadi teka-teki. 

Turut menjadi tanda tanya adalah penglibatan baki lapan buah kelab lain dari Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam yang meraih slot automatik ke kejohanan tahunan ini.

Untuk makluman, sebanyak 14 buah kelab akan menyertai kejohanan ini melibatkan 40 perlawanan secara keseluruhan.

Tambah pihak penganjur lagi, maklumat mengenai jadual perlawanan serta format kejohanan akan turut diumumkan dalam majlis yang sama kelak.

Komen