Piala Thomas: Malaysia Muncul Naib Juara Kumpulan D
April 30, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad Malaysia terlepas peluang untuk muncul juara kumpulan dan terpaksa akur dengan gelaran naib juara peringkat Kumpulan D dalam saingan Piala Thomas 2024.

Gelaran itu hadir susulan Malaysia mengalami kekalahan tipis 3-2 di tangan Denmark dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Malaysia bermula dengan langkah kiri, ketinggalan 0-1, apabila Zii Jia yang menjadi taruhan pertama skuad negara tumpas di tangan pemain No.1 dunia, Viktor Axelsen secara “straight set” menerusi skor 16-21 dan 22-24.

Akan tetapi, Malaysia berhasil mengejar untuk menyamakan kedudukan, 1-1, hasil daripada beregu No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menumpaskan gandingan Kim Astrup dan Anders Rasmussen pada perlawanan kedua menerusi skor 17-21, 21-17 dan 21-16.

Bagaimanapun, Malaysia kembali ketinggalan pada perlawanan ketiga, 1-2, apabila Leong Jun Hao terpaksa akur dengan kehebatan Anders Antonsen dan tumpas dengan keputusan 14-21 dan 10-21.

Namun begitu, gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin yang diturunkan pada perlawanan keempat menyamakan kembali kedudukan menjadi 2-2 apabila dapat menjinakkan Rasmus Kjaer dan Frederik Sogaard secara “straight set” menerusi skor 23-21 dan 22-20.

Pada perlawanan terakhir, Malaysia yang diwakili oleh pemain muda, Justin Hoh sempat memberikan tentangan sengit sebelum terpaksa akur tewas di tangan Rasmus Genke menenerusi tiga set permainan berskor 13-21, 21-19 dan 13-21.

Walaupun tumpas, Malaysia terlebih dahulu telah mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati apabila berjaya mengalahkan Hong Kong dan Algeria pada aksi pertama dan kedua peringkat Kumpulan D.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen