Mickey Lancar FH7 Official – Jenama Koleksi Peribadi Di Aeon BiG
May 1, 2024 Hafizuddin Omar

Penyerang sayap lincah skuad kebangsaan, Faisal Halim atau lebih dikenali sebagai Mickey tampil melancarkan jenama koleksi peribadinya iaitu FH7 Official di Pasaraya Aeon BiG Subang Jaya, pada hari ini.

Koleksi barangan FH7 itu diterbitkan hasil kerjasama dengan Ferhad Sports – sebuah syarikat pengedar koleksi barangan rasmi kelab-kelab bola sepak Liga Malaysia.

Sebagai permulaan, hanya 10 koleksi barangan FH7 akan dikeluarkan dan dipasarkan bermula di pasaraya Aeon BiG Subang Jaya sebagai saluran jualan pertama bagi koleksi berkenaan sebelum diperluaskan ke seluruh 22 cawangan miliknya di semenanjung tanah air.

Antara 10 koleksi pertama keluaran FH7 adalah tshirt kolar bulat (RM59, RM89), baju hud (RM159), jersi inspirasi bola sepak Amerika (RM99), tshirt kanak-kanak (RM35, RM39) hadir dalam versi berwarna hitam dan putih setiap satunya.

Pemain Selangor FC berusia 26 tahun itu memaklumkan rekaan, pemilihan warna dan sebagainya untuk barangan-barangan FH7 adalah idea serta ilhamnya sendiri.

Ferhad Sports memaklumkan lebih banyak lagi pilihan barangan akan diterbitkan setelah mendapat maklumbalas dari pengeluar dan peminat kelak.

Pada masa yang sama, Mickey memasang tekad berusaha untuk meningkatkan lagi prestasinya di dalam padang sementara mengintai peluang-peluang pengkomersilan sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

Jelasnya, para peminat tidak akan mengingati atau tergerak hati untuk membeli barangannya sekiranya tidak menampilkan prestasi yang memberangsangkan di dalam padang.

Komen