Piala Thomas: Malaysia Ke Separuh Akhir Selepas 8 Tahun
May 2, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad Malaysia menempah tiket ke peringkat separuh akhir Piala Thomas 2024 sekaligus menoktahkan kemarau kemaraan selama lapan tahun ke peringkat terbabit.

Kemaraan itu dilakar selepas Malaysia berjaya menumpaskan Jepun dengan keputusan 3-1 pada peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Pertarungan itu bermula dengan Lee Zii Jia yang turun selaku taruhan pertama Malaysia menumpaskan Kenta Nishimoto dengan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-3 dalam tempoh 33 minit.

Kemenangan itu memberikan mata pertama buat Malaysia.

Pada pertarungan kedua, Malaysia menurunkan beregu utamanya, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk menentang Takuro Hoki dan Yugo Kobayshi.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking kelima dunia terpaksa akur menerima kekalahan di tangan Hoki-Kobayashi dengan skor 18-21, 21-14 dan 21-19 selepas bertarung selama lebih satu jam.

Kekalahan tersebut membolehkan Jepun mengikat Malaysia dengan kedudukan 1-1.

Pada pertarungan ketiga, Leong Jun Hao memacu Malaysia kembali mendahului di hadapan dengan kedudukan 2-1 dengan mengejutkan pemain yang berada di ranking lebih tinggi daripadanya, Koki Watanabe, ranking ke-22 dunia, secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-10 dalam tempoh 35 minit.

Tanpa perlu mengheret ke pertarungan kelima, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin yang turun pada pertarungan keempat sudah memadai membuatkan Jepun terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala Thomas 2024.

Ini susulan Sze Fei-Izzuddin berjaya menumpaskan lawannya, Akira Koga dan Taichi Saito menerusi tiga set permainan menerusi skor 18-21, 21-15 dan 21-12 pada pertarungan terbabit.

Skor tersebut menjadikan Malaysia melakar kemenangan 3-1 sekaligus menempah tiket ke peringkat separuh akhir Piala Thomas edisi kali ini.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia berjaya mara ke peringkat akhir adalah pada edisi tahun 2016 yang berlangsung di Kunshan, China.

Sementara itu, di peringkat separuh akhir kelak, Malaysia akan bertemu tuan rumah iaitu China untuk merebut tiket ke perlawanan akhir.

Untuk makluman, China mara ke separuh akhir setelah berjaya menumpaskan India 3-1.

Featured Image: Badminton Asscociation of Malaysia

Komen