HLM Takaful Hadir Sebagai Rakan Rasmi Takaful Liga Malaysia
May 3, 2024 Hafizuddin Omar

Hong Leong MSIG (HLM) Takaful diangkat menjadi Rakan Rasmi Takaful Liga Malaysia untuk musim 2024-25.

Kehadiran pengendali syarikat takaful berlesen terbabit diumumkan selepas menandatangani perjanjian penajaan strategik dengan Malaysian Football League (MFL) di Sofitel Kuala Lumpur Damansara, pada hari ini.

Menerusi perjanjian ini, HLM Takaful behasrat untuk meningkatkan kesedaran tentang jenamanya di kalangan penonton MFL, mempromosikan produk dan perkhidmatan takaful keluarga serta meneroka peluang kerjaya dan keusahawanan untuk rakyat Malaysia.

Selain itu, HLM Takaful turut berhasrat untuk memanfaatkan aktiviti yang boleh diadakan di sekitar stadium untuk mempromosikan beberapa peluang kerjaya dan keusahawanan yang ditawarkan oleh HLM Takaful kepada rakyat Malaysia.

Semua usaha yang dirancang dengan MFL untuk musim ini akan menjadi sebahagian daripada pelan pemasaran HLM Takaful di samping berusaha untuk mengembangkan asas pelanggannya dan meningkatkan kadar penembusan takaful di Malaysia yang kini berada pada sekitar 20%.

Pada masa yang sama, inisiatif ini juga akan meluaskan platform HLM Takaful untuk mempromosikan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan Rangka Kerja Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT) melalui pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan perlawanan bola sepak.

Sebagai tambahan, HLM Takaful dan MFL percaya kerjasama ini akan membolehkan mereka mempromosikan gaya hidup sihat dan mengukuhkan pemahaman masyarakat tentang takaful melalui sukan bola sepak di Malaysia.

Difahamkan, perjanjian antara HLM Takaful dan MFL ini berlangsung selama satu musim sahaja dan nilai penajaan tidak didedahkan kepada umum.

Komen