Liga Remaja LaLiga 2024 Bermula Jun – Disertai Lebih 100 Pasukan
May 3, 2024 Hafizuddin Omar

LaLiga tampil melancarkan edisi sulung Liga Remaja 2024 dengan penyertaan lebih 100 buah pasukan melibatkan dua divisyen meliputi enam kategori umur iaitu B-8, B-10, B-12, B-14, B-16 dan B-21.

Sepak mula liga yang mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tersebut dijadualkan bermula pada Jun kelak di pelbagai venue sekitar di ibu negara, Kuala Lumpur.

Antara yang telah mengesahkan diri untuk beraksi dalam saingan liga ini ialah Kerteh FC (Terengganu), Akademi Tunas Hulu Langat (Selangor), LYNX Football Academy (Selangor), Kiblah FC (Selangor), Cheras Celtic Academy (Kuala Lumpur), Black Leopard FA (Kuala Lumpur), TSSX FC (Johor) dan banyak lagi.

Untuk makluman, penganjuran julung kali saingan liga ini diadakan susulan kejayaan LaLiga melangsungkan Kejohanan Remaja LaLiga dalam tiga edisi yang lalu.

Selepas berakhirnya saingan liga terbabit, Kejohanan Remaja LaLiga 2024 yang merupakan edisi keempat penganjurannya akan menyusul.

Kejohanan ini akan berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula 12 hingga 14 Julai 2024.

Sebagai tambahan, penganjur memaklumkan pemain yang meraih anugerah Pemain Terbaik Kejohanan Remaja LaLiga berpeluang untuk menerima biasiswa untuk menyertai Kem LaLiga di Madrid, Sepanyol.

Komen