Astro selaku penyiar rasmi Liga Malaysia melancarkan permainan “fantasy football” yang tersendiri buat julung kalinya dan diberikan nama Ultimate Liga Super Fantasy.
Perkara itu diumumkan oleh Astro semasa Pelancaran Musim Baharu Astro x Liga Malaysia 2024 di Le Meridien Petaling Jaya, semalam.
Tinjauan kami mendapati laman sesawang Ultimate Liga Super Fantasy sudah boleh diakses dan didaftarkan oleh para peminat untuk memainkannya.
Selain itu, Astro turut membawakan Sooka Score Predictor, juga julung kali diadakan bermula musim ini, bagi memberikan pengalaman istimewa buat para peminat.
Menurut Astro, peminat yang menyertai permainan ini berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM45,000 disamping sebanyak 3,000 tiket akan diberikan kepada peminat bertuah sepanjang musim ini.
Sementara itu, bersempena dengan musim keduanya selaku penyiar rasmi Liga Malaysia, Astro turut mengumumkan semua pelanggan Astro dapat menikmati akses tanpa caj tambahan untuk semua perlawanan siaran langsung Liga Malaysia.
Ini merangkumi Perlawanan Sumbangsih (Piala Sultan Haji Ahmad Shah), Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia dalam definisi tinggi (HD) di Arena Bola (saluran 803 & 804) dan Astro Arena (saluran 801 & 802) atau dengan melayari Astro GO.
Manakala di aplikasi Sooka, Liga Malaysia menjadi sebahagian daripada pelan Sports + Entertaiment pada harga RM29.60 sebulan tidak termasuk cukai.
Untuk pelanggan yang ingin menyaksikan aksi Liga Malaysia di kaca televisyen, peminat boleh memilih pelan Premium pada harga RM47.10 sebulan tidak termasuk cukai.