Jersi Replica Kuching City Home, Away & Third 2024-25 Dijual RM109 Sehelai
May 4, 2024 Hafizuddin Omar

Pasukan yang muncul naib juara Challenge Cup 2023, Kuching City FC tampil memperkenalkan jersi “home”, “away” dan “third” terbarunya untuk disarung sepanjang beraksi dalam saingan Liga Malaysia 2024-25.

Pengenalan ketiga-tiga jersi itu dibuat menerusi satu muat naik video berdurasi sekitar dua minit dan setengah di pelbagai platform media sosialnya, baru-baru ini.

Menerusi video itu, jersi “home” bagi skuad berjulukan The Cats ini tampil dalam warna putih sambil mengenakan warna hijau dan merah pada lengan kanan dan kiri pemakainya.

Manakala untuk jersi “away” pula, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak ini mengenakan rekaan berjalur biru dan hitam. Sementara itu, jersi ketiganya pula hadir dalam warna jingga.

Ruangan tengah di bahagian hadapan ketiga-tiga jersi itu pula mamaparkan logo penajanya, Press Metal menggantikan frasa “CITY OF UNITY” yang kini dialihkan ke ruangan bawah bahagian belakang jersi.

Di bahagian kiri dan kanan dada pemakai, diletakkan logo kelab dan pembuat kit, StarSport sambil mengapit bendera negeri Sarawak – yang berada tengah-tengahnya.

Kesemua jersi versi “replica” ini sudah mula dijual secara fizikal di LSC Hopoh, LSC TotalSports Sarawak Plaza, LSC Premium Outlet Kuching Sentral, LSC Premium Outlet Boulevard dan GSM Matang Mall.

Selain itu, ianya juga boleh dibeli secara atas talian di laman sesawang, LSC Online Store.

Menurut makluman pihak kelab, jersi “home”, “away” dan “third” Kuching City versi “replica” bagi musim 2024-25  ini dijual pada harga RM109 sehelai.

Featured Image: Kuching City FC

Komen