Skuad China Rangkul Kejuaraan Piala Thomas & Uber 2024
May 6, 2024 Hafizuddin Omar

Kedua-dua skuad tuan rumah baik lelaki mahupun wanita berjaya merangkul kejuaraan kejohanan berpasukan lelaki dan wanita, Piala Thomas dan Piala Uber 2024.

Bagi saingan Piala Thomas, skuad lelaki dari negara tembok besar itu berjaya muncul juara selepas menamatkan perlawanan akhir menentang Indonesia dengan keputusan 3-1.

Pungutan mata itu disumbangkan menerusi kemenangan oleh Shi Yu Qi, gandingan Liang Wei Keng-Wang Chang serta He Ji Ting-Ren Xiang Yu.

Ketiga-tiga wakil China di atas menyumbangkan mata selepas hasil daripada menumpaskan lawan masing-masing iaitu Anthony Sinisuka Ginting (21-17, 21-6), gandingan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (21-18, 17-21, 21-17) serta Shohibul Fikri-Bagas Maulana (21-11, 21-15) masing-masing.

Indonesia sempat melewatkan seketika kemenangan China apabila taruhan ketiganya, Jonatan Christie berhasil menumpaskan Li Shi Feng menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-16, 15-21 dan 21-17.

Sebagai rekod, ini merupakan kali kesebelas China meraih kejuaraan Piala Thomas sementara Indonesia pula bergelar naib juara buat kali ketujuh.

Skuad Malaysia pula mengakhiri kempen Piala Thomas kali ini setakat peringkat separuh akhir – julung kalinya mara ke peringkat ini selepas lapan tahun.

Beralih ke saingan Piala Uber, skuad wanita China muncul juara juga hasil daripada menumpaskan Indonesia pada perlawanan akhir dengan keputusan 3-0.

Mata kemenangan itu disumbangkan oleh Chen Yu Fei, gandingan Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dan He Bing Jiao menerusi kemenangan ke atas Gregoria Mariska Tunjung (21-7, 21-16), Siti Fadia Silva-Ribka Sugiarto (21-11, 21-8) dan Ester Wardoyo (10-21, 21-15, 21-17) masing-masing.

Pungutan mata 3-0 itu sekaligus menghadiahkan China gelaran juara Piala Uber buat kali ke-16 serta kedudukan naib juara kelapan buat Indonesia.

Sebagai tambahan, kempen skuad wanita Malaysia pula berakhir setakat peringkat kumpulan selepas menamatkan saingan Kumpulan B di tangga ketiga. 

Komen