Atlet-atlet sukan tanah air terutamanya yang tidak mendapat tajaan daripada pihak kerajaan kini berpeluang untuk mendapat diskaun tiket penerbangan sehingga 20% untuk ke mana-mana temasya, kejohanan, aktiviti sukan ataupun untuk berlatih di luar negara.
Bagaimanapun, diskaun itu akan diberikan dengan syarat atlet tersebut terdiri daripada 103 jenis sukan yang telah diwartakan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 dan permohonan tersebut dihantar oleh persatuan sukan masing-masing menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Difahamkan, seramai 1000 atlet dan 115 staf kejurulatihan akan mendapat manfaat ini yang melibatkan 221 persatuan-persatuan sukan.
Selain diskaun tiket penerbangan, kerjasama ini turut memberikan tambahan elaun bagasi selain memperoleh Enrich Points.

Akan tetapi, tawaran ini terpakai untuk penerbangan yang dikendalikan oleh Malaysia Airlines sahaja dan tidak termasuk rakan kongsi syarikat penerbangan Oneworld dan Codeshare.
Perkembangan ini hadir selepas KBS dan Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan menandatangani kerjasama strategik pada hari ini khusus untuk memajukan inisiatif pembangunan sukan di seluruh negara.
Kerjasama bertempoh satu tahun itu ditandatangani oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Ramona Mohd Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penerbangan MAG, Ahmad Luqman Mohd Azmi sambil disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dan Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail.
Dimaklumkan, bagi memberikan manfaat seperti dinyatakan di atas, MAG akan menerajui pembangunan portal yang disesuaikan dengan keperluan khusus atlet dan persatuan sukan yang bekerjasama dengan KBS bagi memudahkan tempahan dan pengaturan perjalanan yang lancar.
Menerusi kerjasama ini juga, kedua-dua entiti akan meneroka peluang penjenamaan untuk memaksimumkan keterlibatan dan penglibatan di acara yang dibenarkan KBS bertujuan untuk meningkatkan profil Malaysia sebagai destinasi sukan di pentas global.
Sebagai tambahan, kerjasama ini akan menyaksikan penubuhan program pengiktirafan untuk memberi penghormatan kepada ahli sukan dan organisasi cemerlang yang disokong oleh Malaysia Airlines yang menekankan komitmen dalam meraikan kecemerlangan sukan.