Kelab dari saingan Bundesliga, Borussia Dortmund berjaya mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) 2023-24 – pentas akhir pertama dijejakinya selepas 11 tahun.
Pengesahan itu hadir selepas Dortmund bimbingan Edin Terzic menumpaskan kelab mewah dimiliki Qatar Sports Investment (QSI) iaitu Paris Saint-Germain (PSG) dengan keputusan 2-0 secara agregat.
Skor tersebut hadir menerusi kemenangan 1-0 di Parc des Princes pada perlawanan timbal balik, awal pagi tadi (waktu Malaysia), hasil tandukan pertahanan veteran, Mats Hummels pada minit ke-50.
Sebelum itu, Dortmund juga melakar kemenangan 1-0 ke atas PSG ketika bertemu pada aksi pertama di Signal Iduna Park menerusi jaringan Niclas Fullkrug pada minit ke-36.
Perlawanan akhir UCL musim ini akan dilangsungkan di Stadium Wembley – stadium yang sama dijejaki Dortmund ketika kali terakhir layak ke final UCL – pada 1 Jun kelak.
Lawan yang akan ditentang oleh Dortmund pada perlawanan akhir kelak samada juara UCL sebanyak 14 kali, Real Madrid atau seterunya di Bundesliga, Bayern Munich akan diketahui selepas kedua-duanya berentap pada perlawanan timbal balik di Santiago Bernabeu awal pagi esok (waktu Malaysia).
Pada aksi pertama minggu lalu, pertemuan Bayern dan Madrid di Allianz Arena berakhir dengan keputusan seri 2-2 hasil jaringan Leroy Sane (53’), Harry Kane (57’) dan gol berganda daripada Vinicius Junior (24’, 83’).
Untuk makluman, kali terakhir Dortmund beraksi pada perlawanan akhir UCL musim 2012-13 lalu, skuad berjulukan BVB ini tumpas di tangan Bayern Munich dengan keputusan 1-2 hasil jaringan Mario Mandzukic (60’) dan Arjen Robben (89’).
Marco Reus dan Mats Hummel menjadi dua pemain Dortmund yang membarisi skuad pada perlawanan tersebut akan mara ke perlawanan akhir UCL 2023-24 kelak.
Featured Image: Borussia Dortmund