Penaung Selangor FC Kecewa MFL Tolak Tangguh Perlawanan Sumbangsih 2024
May 9, 2024 Hafizuddin Omar

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa kecewa atas keputusan pengelola liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) menolak permohonan Selangor FC untuk menangguhkan Perlawanan Sumbangsih 2024.

Baginda yang juga merupakan Penaung Selangor FC menerbitkan rasa kecewa itu menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan dan disiarkan di pelbagai platform media sosial Selangor Royal Office, pagi tadi.

Memetik kenyataan berkenaan, Baginda berpandangan, susulan berlakunya beberapa insiden mengancam nyawa yang melibatkan pemain dan pegawai baru-baru ini, adalah bertepatan untuk pasukan Selangor FC tidak menyertai perlawanan berkenaan yang juga merupakan aksi pertama Liga Super edisi 2024.

Baginda bertitah, keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan para pemain dan bukannya untuk memenangi piala berkenaan.

View this post on Instagram

A post shared by Selangor Royal Official (@selangorroyalofficial)

Pada Selasa lalu, kelab berjulukan Gergasi Merah yang muncul naib juara Liga Super 2023 memaklumkan telah menghantar surat permohonan rasmi kepada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL untuk menunda Perlawanan Sumbangsih merangkap Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 10 Mei.

Dijelaskan, permohonan itu dibuat atas rentetan beberapa isu dan insiden yang berlaku kebelakangan ini. 

Permohonan itu dibalas oleh MFL, semalam, dengan mengumumkan menjalankan Liga Malaysia kekal mengikut jadual yang telah diatur termasuk Perlawanan Sumbangsih selepas mendapat jaminan keselamatan daripada Ketua Polis Johor.

Susulan keputusan tersebut, Selangor FC mengumumkan untuk tidak hadir ke perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) tersebut dan ianya mendapat perkenan daripada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Titah baginda lagi, bukan sahaja isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid melibatkan pemain sayap, Faisal Halim, juga harus diambil kira.

Justeru, Baginda turut menyokong solidariti untuk membanteras keganasan sukan dalam apa jua bentuk #standwithfaisalhalim #stoptheviolence

Baginda mahu semua pihak memahami bahawa tahap keseriusan insiden yang melibatkan nyawa pemain sebegini adalah tidak sama dengan kes-kes sebelum ini, apatah lagi ia berlaku sangat hampir dengan tarikh perlawanan.

Baginda turut menegaskan bahawa Selangor FC sedia berdepan dengan apa jua tindakan, susulan daripada keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan tersebut.

Featured Image: Selangor Royal Office

Komen