Sidang Media Perlawanan Sumbangsih Hari Ini Dibatalkan – MFL
May 9, 2024 Hafizuddin Omar

Sidang media praperlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah atau juga dipanggil sebagai Perlawanan Sumbangsih 2024 yang dijadualkan berlangsung pada hari ini, dibatalkan.

Pembatalan sidang media bagi perlawanan yang menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC selaku juara dan naib juara Liga Super 2023 masing-masing itu dimaklumkan oleh pihak penganjur, Malaysian Football League (MFL) menjelang tengah malam tadi.

“Susulan penarikan diri Selangor FC, sidang media Perlawanan Sumbangsih yang sepatutnya berlangsung esok (hari ini) DIBATALKAN.” demikian makluman wakil daripada pihak MFL kepada para pengamal media.

Sepatutnya, sidang media praperlawanan terbabit dijadualkan bermula 11 pagi dengan sesi pertama untuk pasukan Selangor FC dan sesi kedua, bermula 11.20 pagi bagi JDT bertempat di Bilik Sidang Media, Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.

Sidang media itu pula akan dihadiri oleh ketua jurulatih masing-masing iaitu Nidzam Jami dan Hector Bidoglio serta kapten dari kedua-dua pasukan.

Sebelum sidang media berkenaan, satu mesyuarat koordinasi perlawanan turut diatur bermula jam 10.30 pagi bertempat di Bilik Mesyuarat, Tingkat 1, JDT HQ.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen