Kelab berpangkalan di ibu kota, Kuala Lumpur City FC (KL City bakal berhadapan cabaran sukan dalam penganjuran sulung Kejohanan Kelab ASEAN atau nama komersilnya, Piala Shopee 2024-25.
Ini selepas skuad bimbingan Miroslav Kuljanac yang dipilih untuk menyertai saingan tersebut atas tiket naib juara Piala FA 2023 diundi bersama-sama kelab gergasi Liga Thai, Buriram United serta kelab mewah dari Singapura, Lion City Sailors FC pada peringkat kumpulan.
Bukan itu sahaja, KL City juga akan berhadapan juara Liga Filipina, Kaya FC-Iloilo dan juara Liga Vietnam bimbingan Kiatisuk Senamuang atau nama julukannya Zico, Cong An Ha Noi FC.
Melengkapkan kumpulan tersebut adalah kelab yang sedang mendahului Liga 1 Indonesia musim 2023-24 iaitu Borneo FC Samarinda.
Untuk makluman semua, kesemua kelab-kelab ini diletakkan dalam Kumpulan B selepas berlangsungnya majlis undian di sebuah hotel di Ho Chi Minh, Vietnam, tengah hari tadi.

Sementara itu, sebuah lagi kelab daripada Liga Malaysia iaitu Terengganu FC dapat menarik sedikit nafas kelegaan apabila tidak mendapat lawan yang agak mencabar sepertimana KL City.
Skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner ini diundi dalam Kumpulan A bersama-sama BG Pathum United yang merupakan naib juara Piala Liga Thailand, PSM Makassar FC (Indonesia) dan Dong A Thanh Hoa FC dari Vietnam bimbingan Velizar Popov – bekas ketua jurulatih Kelantan FC suatu masa dahulu.
Manakala, dua buah kelab lagi akan diisi oleh pemenang Play-Off 1, Young Elephants FC (laos) dan Svay Rieng FC (Kemboja) dan Play-Off 2, Kasukan FC (Brunei) dan Shan United FC (Myanmar).
Aksi Play-Off akan dilangsungkan secara timbal balik dengan perlawanan pertama dan kedua dijadualkan berlangsung pada 17hb dan 24hb Julai masing-masing.
Sebagai tambahan, saingan peringkat kumpulan pula akan berlangsung dari 21hb Ogos 2024 hingga 6hb Februari 2025 dengan format “single-round-robin” (liga sepusingan) di tempat sendiri dan lawan.
Juara dan naib juara Kumpulan A dan B akan layak ke peringkat separuh akhir yang akan dilangsungkan secara timbal balik pada April 2025.
Perlawanan akhir juga akan berlangsung secara timbal balik dan ianya dijadualkan pada 14hb dan 21hb Mei 2025 masing-masing.