JDT Diberikan Kemenangan 3-0, Raih 3 Mata Untuk Perlawanan Pertama Liga Super – MFL
May 9, 2024 Hafizuddin Omar

Gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) diberikan kemenangan “walk-over” dengan jaringan 3-0 serta mendapat tiga mata bagi perlawanan pertama Liga Super 2024-25.

Pengesahan itu kemenangan dan pungutan mata tersebut disahkan oleh pengelola liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) menerusi satu kenyataan media yang disiarkan sebentar tadi.

Kemenangan dan pungutan mata itu diberikan susulan Selangor FC yang sepatutnya turun menentang JDT pada malam esok di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri mengumumkan untuk tidak hadir ke perlawanan tersebut.

Untuk makluman, perlawanan tersebut turut digabungkan dengan aksi pembuka tirai iaitu Perlawanan Sumbangsih atau perlawanan merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

Perkembangan itu turut membuatkan MFL mengumumkan membatalkan Perlawanan Sumbangsih tersebut.

Pada masa yang sama, Selangor FC atau nama julukannya, Gergasi Merah dijangka berdepan tindakan atau hukuman apabila MFL mengesahkan perkara-perkara berkenaan penarikan diri itu akan dibawa ke peringkat Lembaga Pengarah MFL untuk tindakan selanjutnya.

Komen