Padang SNBJ Ditukar Kepada Rumput Hybrid Selepas Jun 2024
May 9, 2024 Hafizuddin Omar

Gelanggang utama skuad bola sepak kebangsaan iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan ditukar padangnya kepada jenis rumput hybrid selepas bulan Jun – sesudahnya perlawanan menentang Chinese Taipei kelak.

Ketika ini, padang di stadium berkapasiti dalam linkungan 87,000 tempat duduk itu menggunakan rumput jenis zeon zoysia yang ditaja oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bagaimanapun, sekitar pertengahan April baru-baru ini, Tunku Mahkota Ismail berkenan untuk mendermakan pula rumput jenis hybrid yang ditanam di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos untuk dipasangkan di SNBJ.

Antara alasan untuk menukarkan rumput zeon zoysia kepada jenis hybrid adalah kerana rumput tersebut lebih memenuhi keperluan SNBJ selaku stadium pelbagai guna ekoran ketahanan dan fleksibilitinya untuk acara sukan dan bukan sukan.

Pengesahan tarikh bermulanya penukaran tersebut dikongsikan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd. Amin 

“Saya difahamkan selepas Jun dia tukar (kepada jenis hybrid),” katanya ketika ditemu bual secara eksklusif oleh beberapa agensi media di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Hamidin sempat menjelaskan, rumput hybrid yang akan dipasangkan itu terdiri daripada campuran rumput asli jenis zeon zoysia (majoriti) dan bakinya sebanyak 10%-15% adalah jenis rumput sintetik.

Sementara itu, rumput zeon zoysia sedia ada di SNBJ itu akan dibuka dan dipasang di padang milik Majlis Sukan Negara (MSN), KL Sports City.

Ianya akan memberikan manfaat buat pelajar-pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil dan pasukan-pasukan bola sepak luar negara yang sering menggunakan padang tersebut.

Komen