Indonesia Gagal Ke Sukan Olimpik, Guinea Rampas Slot Terakhir
May 10, 2024 Hafizuddin Omar

Impian skuad bola sepak negara jiran tetangga, Indonesia bawah 23 tahun (B-23) untuk menyertai acara bola sepak lelaki di temasya Sukan Olimpik 2024 Paris musnah berkecai apabila tumpas perlawanan play-off AFC-CAF.

Ianya berikutan skuad bimbingan Shin Tae-yong itu tewas tipis 0-1 di tangan pasukan dari benua afrika barat, Guinea B-23 dalam perlawanan yang berlangsung di Stade Pierre Pibarot, semalam (waktu Malaysia).

Kemenangan oleh Guinea bimbingan Kaba Diawara itu disumbangkan oleh jaringan menerusi sepakan penalti oleh pemain Getafe yang dipinjam daripada RB Leipzig, Ilaix Moriba pada minit ke-29.

View this post on Instagram

A post shared by Gianni Infantino – FIFA President (@gianni_infantino)

Jaringan tersebut kekal sehingga pengadil perlawanan meniup wisel menamatkan permainan sekaligus mengesahkan kemaraan Guinea ke temasya yang berlangsung setiap empat tahun sekali itu.

Terdahulu, Guinea mara ke perlawanan play-off ini setelah menamatkan saingan Piala Negara-Negara Afrika B-23 2023 di tempat keempat.

Sementara itu, Indonesia pula mendapat tiket ke perlawanan play-off selepas meraih tempat keempat Piala Asia B-23 2024.

Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua Guinea akan beraksi di temasya Sukan Olimpik dalam sejarahnya.

Kali pertama Guinea layak ke Sukan Olimpik dalam acara bola sepak lelaki adalah pada edisi 1968 yang berlangsung di Mexico.

Sementara itu, kemaraan Guinea ini meletakkan mereka dalam Kumpulan A bersama-sama skuad tuan rumah bimbingan Thierry Henry, Perancis serta Amerika Syarikat dan New Zealand.

Featured Image: Federation Guineenne De Football 

Komen