Jersi Terengganu FC 2024-25 Versi Authentic Dijual RM149
May 10, 2024 Hafizuddin Omar

Kelab berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC tampil melancarkan jersi “home” dan “away” untuk digunakan bagi beraksi dalam saingan Liga Malaysia dan Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee 2024-25.

Pelancarannya dilakukan secara atas talian dengan berkongsikan video berdurasi satu minit dan 20 saat disusuli dengan pelbagai foto dan grafik mengenai jersi-jersi baharunya di pelbagai platform media sosialnya, malam tadi.

Perkongsian terbabit memperlihatkan jersi “home” kekal dengan warna tradisinya iaitu putih dan hitam sebagai warna asas dan ditambah dengan kemasan berwarna emas di bahagian kolar, sisi badan dan pada logo jenama pembuat kit, ALX.

View this post on Instagram

A post shared by Terengganu Football Club️️ (@officialterengganufc)

Dibahagian tengah hadapan jersi, logo Agarbomb Performance – penaja platinum – dipilih untuk menghiasi ruang tersebut.

Seperti jersi pada tahun lalu, logo kelab dan pembuat kit diletakkan pada bahagian dada kiri dan kanan pemakainya.

Beralih kepada bahagian belakang di sebelah bawah, ianya ditampal dengan tiga buah logo penajanya iaitu Ladang Rakyat, Aeon BiG dan Rimba Razia sementara AQM Agro Tech disematkan di belakang leher pemakai.

Manakala pada lengan kanan dan kiri, diletakkan logo syarikat EPIC dan SATU masing-masing.

Sementara itu, jersi “away” skuad kendalian Tomislav Steinbruckner pula hadir dalam warna hitam sebagai warna asas dan dipadankan dengan warna “fluorescent orange” terutamanya pada logo kelab, pembuat kit dan penajanya.

Pada fabriknya pula, terdapat motif tulisan grafiti yang difahamkan melambangkan generasi baharu yang giat bersama kelab tidak kira dalam memberikan sokongan dan juga membantu memperkukuhkan lagi kelab ini.

Diumumkan versi authentic kedua-dua jersi “home” dan “away” Terengganu ini dijual pada harga RM149.

Buat para peminat Terengganu, jersi-jersi ini boleh dibeli secara fizikal di Al-Ikhsan KTCC Mall, Al-Ikhsan Kerteh, Al-Ikhsan Kemaman dan Football Republic Kuala Terengganu.

Selain itu, ianya boleh juga didapati secara atas talian menerusi laman sesawang TFC Direct.

Featured Image: Terengganu FC

Komen