KL City Hilang Khidmat Kamal Azizi Lebih Sebulan – Retak Pergelangan Tangan
May 13, 2024 Hafizuddin Omar

Kelab berpangkalan di ibu kota tanah air, Kuala Lumpur City FC (KL City) terpaksa akur kehilangan khidmat bek kanannya, Kamal Azizi sekurang-kurangnya sebulan.

Ini berikutan pemain berusia 30 tahun terbabit mengalami retak di pergelangan tangannya ketika beraksi menentang Kuching City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras pada aksi minggu pertama Liga Super, semalam.

Kecederaan itu dialaminya selepas terkena bola sepakan pemain Kuching City yang memaksanya dikeluarkan sekitar minit ke-3 permainan dan digantikan dengan J. Partiban oleh ketua jurulatih, Miroslav Kuljanac.

Kecederaan terbabit disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard ketika dihubungi pihak media, pagi tadi.

“Ya, selalunya ia mengambil masa (sekurang-kurangnya) sebulan hingga lima minggu untuk kembali menyertai sesi latihan,” ujar Stanley.

Bagaimanapun, KL City sedikit lega kerana kecederaan menimpa Kamal kelahiran Terengganu itu tidak melibatkan bahagian bawah badan atau kakinya dan boleh melakukan latihan pada bahagian tersebut.

Sementara itu, perlawanan tersebut berakhir dengan KL City dan Kuching City bimbingan Aidil Sharin Sahak berakhir dengan keputusan 1-1 sekaligus terpaksa berkongsi satu mata.

Gol oleh kedua-dua pasukan dijaringkan oleh Paulo Josue (12’) dan Pedro Henrique (19’) masing-masing.

Untuk perlawanan seterusnya, Kuching City akan melayan kunjungan Sri Pahang FC di Stadium Negeri, Kuching pada 19hb Mei. 

Manakala KL City pula akan berehat seketika sebelum bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di halamannya sendiri pada 25hb Mei kelak. 

Featured Image: Kuala Lumpur City

Komen