Jenama barangan sukan antarabangsa, Kelme meneruskan komitmen terhadap pembangunan bola sepak tempatan apabila tampil memperbaharui perjanjian penajaan dengan Amateur Football League (AFL) – pengelola saingan bola sepak amatur tempatan.
Hasil daripada pembaharuan penajaan itu, Kelme akan menyediakan bola rasmi bagi saingan Liga A1 Semi-Pro yang dijadualkan berlangsung bermula 1 Jun 2024 sehingga Februari 2025.
Bukan itu sahaja, perjanjian tersebut menyaksikan Kelme tampil memberikan penajaan mencecah RM400,000 merangkumi wang tunai serta lain-lain barangan sukan bagi tempoh tiga musim berikutnya atau sehingga musim 2026-27.
Perjanjian baharu itu telah ditandatangani oleh Pengurus Pemasaran Kelme, Louis Fun dan Ahli Lembaga Pengarah AFL, Dato’ Adly Shah Ahmad Tah sambil disaksikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ S. Sivasundaram dalam satu majlis di Wisma FAM, semalam.
Bola rasmi Liga A1 Semi-Pro 2024-25 tajaan Kelme pic.twitter.com/2IWMdbYp90
— Sukanz. (@sukanzcom) May 13, 2024
Dalam majlis itu juga, turut dilangsungkan simbolik pengenalan bola Kelme yang akan digunakan dalam saingan Liga A1 Semi-Pro yang direka khas dengan sentuhan warna yang menarik seiring dengan tema pertandingan.
Sebagai rekod, Kelme antara penaja terawal yang bersama AFL dengan mengadakan kerjasama bagi menyokong bola sepak peringkat amatur sejak tahun 2021 lagi.
Untuk makluman semua, Kelme juga merupakan penaja bola rasmi Piala Asia 2023 yang berlangsung dari 12 Januari hingga 10 Februari 2024 di Qatar.