Peserta-peserta perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) tidak perlu mengharungi pendakian ke Genting Highlands pada edisi kali ini yang berlangsung dari 29 September hingga 6 Oktober kelak.
Ini susulan Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur perlumbaan bertaraf UCI ProSeries Men Elite memutuskan untuk menukar laluan peringkat keempat dari Kuala Kubu Baru ke Genting Highlands (112.8km) kepada dari Kuala Kubu Baru ke Bentong (148.9km).
Perubahan tersebut diputuskan apabila penganjur melengkapkan tinjauan laluan baru setelah mengambil kira faktor-faktor keselamatan ekoran kerja-kerja penambahbaikan jalan dan cerun di sepanjang laluan Genting Highlands semasa tarikh perlumbaan.
Pengumuman penukaran dan perubahan laluan tersebut dikongsikan MSN menerusi satu kenyataan media yang diedarkan pada hari ini.
Jelas pihak penganjur, pemilihan daerah Kuala Kubu Baru dan Bentong adalah untuk mengekalkan persiapan yang sedang dirangka oleh kedua-dua hos pelepasan dan penamat tersebut berdasarkan pengumuman laluan yang telah diumumkan menerusi Majlis Pelancaran LTdL 2024 pada 18 Mac lalu.
Seperti diumumkan sebelum ini, penganjur tetap cuba mengekalkan konsep “back-to-back mountain climbs” untuk perlumbaan peringkat ketiga dan keempat.
Peringkat keempat yang baharu ini bakal menyaksikan pelumba perlu memulakan pendakian pada jarak kilometer ke-20 hingga kilometer ke-40 di Jalan Gap-Bukit Fraser sebelum mendaki ke puncak Bukit Fraser pada ketinggian 1,250 meter (m).
Peringkat ini bakal menjelmakan cabaran tambahan buat pelumba kerana perlukan percaturan taktikal dan teknikal yang tepat kerana bukan sahaja menuntut kayuhan pendakian hebat, tetapi juga kepakaran menuruni bukit bagi mengumpul jurang masa maksimum untuk mengharungi baki 70km laluan landai ke Bentong.
Peta laluan baharu bagi keseluruhan perlumbaan LTdL 2024 adalah seperti berikut:
- Peringkat 1: Langkawi Round Island (96.5km)
- Peringkat 2: Arau ke Butterworth (154.5km)
- Peringkat 3: Taiping ke Cameron Highland (170.3km)
- Peringkat 4: Kuala Kubu Bharu ke Bentong (148.9km)
- Peringkat 5: Kuala Lumpur ke Melaka (167.3km)
- Peringkat 6: Batu Pahat ke Kulai (123.6km)
- Peringkat 7: Miri ke Bintulu (199.3km)
- Peringkat 8: Bintulu Loop (166.8km)