Sesi latihan skuad berpangkalan di pantai timur iaitu Terengganu FC kini tidak lagi dapat disaksikan secara dekat oleh para penyokong dan peminatnya.
Ini berikutan kelab bimbingan Tomislav Steinbruckner menjalankan sesi latihannya bertempat di Padang C, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak secara tertutup, mulai hari ini.
Pemakluman mengenai perkara tersebut dikongsikan sendiri Bahagian Infrastruktur dan Kemudahan, Majlis Sukan Negeri Terengganu menerusi satu hantaran di media sosial miliknya, hari ini.
“Mulai pada hari ini, sesi latihan pasukan Terengganu FC adalah secara tertutup.” tulis kenyataan pada hantaran tersebut.
Terdahulu, Exco Pembangunan Belia & Sukan Negeri Terengganu merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Terengganu FC, YB Hishamuddin Abdul Karim menerusi satu laporan media tempatan telah memaklumkan pasukannya akan melangsungkan sesi latihan secara tertutup tanpa dibenarkan kehadiran penyokong sepertimana diamalkan sebelum ini.
Langkah tersebut dilakukan bagi mempertingkatkan aspek keselamatan khususnya buat para pemain selepas berlakunya insiden pemain sayapnya yang dipinjam daripada Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid dipukul di bahagian kepala, badan dan kaki serta disamun oleh dua individu yang tidak dikenali.