AFC Sokong Usul Palestin Kepada FIFA, Gantung Israel
May 17, 2024 Hafizuddin Omar

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tampil menyokong penuh usul ahli gabungannya iaitu Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) kepada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menggantung Persatuan Bola Sepak Israel (IFA).

Sebelum ini, Palestin menghantar usul tersebut berikutan perang yang berterusan melanda di negara berkenaan khususnya, Gaza.

Sokongan itu disuarakan sendiri oleh Presiden AFC, Sheikh Salman Bin Ebrahim Al Khalifa, semalam, semasa Kongres AFC Kali Ke-34 yang berlangsung di Bangkok, Thailand dan disiarkan di laman sesawang AFC.

Menurutnya, sokongan terhadap usul sah oleh Palestin bagi mencapai resolusi pantas dan berkesan itu selari dengan peraturan dan statut AFC serta FIFA, 

Selain itu, peperangan di Gaza itu juga mencabul objektif statut AFC dan FIFA secara sistematik dan menghilangkan nyawa orang yang tidak bersalah dengan dahsyat yang berterusan menjadi berita hangat peringkat antarabangsa.

Tambah Sheikh Salman lagi di dalam ucapannya, perang di Gaza telah menghilangkan lebih 45,000 nyawa termasuk sekurang-kurangnya 180 pemain bola sepak selain memusnahkan hampir setiap infrastruktur bola sepak di Gaza.

Untuk makluman, sokongan itu diberikan sehari sebelum berlangsungnya Kongres FIFA Kali Ke-74 (17 Mei) yang turut berlangsung di Bangkok, Thailand.

Featured Image: AFC

Komen