Ronaldo Ungguli Senarai Atlet Berpendapatan Tinggi 2024 Oleh Forbes
May 17, 2024 Hafizuddin Omar

Penyerang Al Nassr yang berpangkalan di Arab Saudi, Cristiano Ronaldo muncul sebagai atlet berpendapatan tertinggi dunia buat kali keempat dalam kariernya.

Status tersebut menjadi milik pemain berusia 39 tahun kelahiran Portugal terbabit selepas majalah berkaitan perniagaan dari Amerika Syarikat, Forbes, meletakkan namanya di tempat pertama dalam senarai 50 Atlet Berpendapatan Tertinggi Dunia 2024.

Ronaldo yang merekodkan sebanyak 206 penampilan bersama skuad kebangsaan Portugal mengungguli senarai berkenaan selepas merekodkan pendapatan beranggaran sebanyak AS$260 juta bagi tempoh 12 bulan yang lalu.

Forbes menganggarkan pendapatannya bersama Al Nassr adalah sebanyak AS$200 juta pada musim ini. Baki AS$60 juta lagi diraihnya menerusi portfolion penajaan dan pengiklanan merangkumi Nike, Binance, Herbalife dan lain-lain lagi.

Di tempat kedua adalah pemain golf dari Sepanyol yang berusia 29 tahun, Jon Rahm – meraih sebanyak AS$218 juta sepanjang tempoh 12 bulan lalu.

Manakala juara Piala Dunia 2022 bersama Argentina dan pemenang Ballon d’Or sebanyak lapan kali yang bersama Inter Miami CF pada ketika ini, Lionel Messi menghuni kedudukan ketiga dalam senarai terbabit dengan merekodkan pendapatan sebanyak AS$135 juta secara keseluruhan.

Tujuh lagi atlet yang melengkapkan senarai ini adalah seperti berikut:

#4 LeBron James (Bola Keranjang) – AS$128.2 juta

#5 Giannis Antetokounmpo (Bola Keranjang) – AS$111 juta

#6 Kylian Mbappe (Bola Sepak) – AS$110 juta

#7 Neymar (Bola Sepak) – AS$108 juta

#8 Karim Benzema (Bola Sepak) – AS$106 juta

#9 Stephen Curry (Bola Keranjang) – AS$102 juta

#10 Lamar Jackson (Bola Sepak Amerika) AS$100.5 juta

Antara pemain bola sepak lain yang turut memasuki senarai ini ialah Erling Haaland (tempat ke-27, AS$61 juta), Mohamed Salah (tempat ke-38, AS$53 juta) dan Sadio Mane (tempat ke-40, AS$52 juta) yang merupakan pemain Manchester City, Liverpool dan Al Nassr masing-masing.

Secara keseluruhan, senarai ini didominasi oleh 19 pemain bola keranjang diikuti 11 pemain bola sepak Amerika dan lapan pemain bola sepak.

Menyusuli senarai itu adalah lima pemain golf, tiga orang peninju serta dua orang pelumba jentera Formula 1 (F1) besbol masing-masing.

Featured Image:  Al Nassr FC

Komen