Sunnil Chhetri yang merekodkan 150 penampilan bersama skuad kebangsaan India mengumumkan akan bersara daripada pentas bola sepak antarabangsa.
Aksi menentang pasukan yang menghuni ranking ke-139 dunia, Kuwait pada Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, 6hb Jun, bakal menjadi perlawanan terakhirnya bersama skuad berjulukan The Blue Tigers.
Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh kapten merangkap penyerang skuad kebangsaan India menerusi satu video berdurasi sembilan minit dan 50 saat di akaun media sosial X peribadinya.
Sebagai rekod, Sunil melakukan debutnya bersama skuad kebangsaan India pada 12 Jun 2005 ketika menentang seteru rapat negaranya, Pakistan di Stadium Punjab, Lahore ketika berusia 20 tahun.
Sejak itu, Sunil mewarnai karier bola sepaknya bersama skuad kebangsaan India dengan tampil dalam saingan Piala Asia 2011, 2019 dan 2023 selain beraksi di Piala Cabaran AFC dan Kejohanan SAFF.
Ketajaman Sunil dihadapan gawang tidak dapat disangkal lagi dengan merekodkan sebanyak 94 gol – ketiga terbanyak di dunia melibatkan pemain-pemain yang masih aktif selepas Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi – selain memahat namanya selaku penjaring terbanyak skuad kebangsaan India sepanjang zaman.
I'd like to say something… pic.twitter.com/xwXbDi95WV
— Sunil Chhetri (@chetrisunil11) May 16, 2024
Featured Image: All India Football Federation